Thursday, September 17, 2015

Apa Objektif Himpunan Rakyat Bersatu?

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau masih tidak tahu menahu apa matlamat Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan hari ini.
Diminta memberi komen mengenai program yang didakwa dihadiri kira-kira 200,000 orang itu, Dr Mahathir berkata: "Dia punya objektif apa dia? Saya pun tak tahu, macam mana nak komen."
Beliau kemudian diiringi oleh pasukan keselamatan beredar dari wartawan.
Bekas perdana menteri itu ditemui media selepas menghadiri majlis di Cyberjaya hari ini.
Dr Mahathir memang kritikal terhadap perhimpunan yang diadakan sebagai 'membalas' BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Malah beliau turut membuat dua kemunculan singkat sempena BERSIH 4.
Kata Dr Mahathir BERSIH 4 bukanlah perhimpunan bersifat rasis kerana ia disertai pelbagai kaum.
"Mereka (kumpulan baju merah) mahu BERSIH menjadi rasis supaya mereka boleh mempertahankan Melayu.
"(Bagaimanapun) mereka bukan mempertahankan Melayu. Ia (Himpunan Rakyat Bersatu) tak perlu," katanya kepada media semalam.
Program itu turut tidak disenangi oleh Timbalan dan Naib Presiden Umno.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sempena Hari Malaysia berkata, sambutan detik penting negara wajar dizahirkan dengan acara yang melambangkan perpaduan rakyat.
"Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya," kata beliau.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata sebarang perhimpunan untuk menyakitkan hati serta mencetuskan provokasi pihak lain perlu dielakkan.
"Perlu ada penghormatan kepada negara dan bukan dengan perhimpunan untuk tujuan yang tidak tentu kerana ia hanya memporak perandakan keharmonian kaum," katanya.