Tuesday, September 29, 2015

Kita perangi mereka melalui lorong kiri yang kita bina bersama

2015 kini, saya melihat iklim politik Malaysia dari sisi yang sama tetapi persepsi yang berbeda. Seawal 1978, semasa masih bergelar pelajar dan terlibat secara langsung dalam politik pelajar, sebelum dipaksa berehat selama dua tahun, saya hayati roh politik ketika itu sebagai wadah perjuangan dalam membantu membentuk arah tuju bangsa-negara ke-satu destinasi yang lebih luhur.
Kurang lebih 37 tahun berlalu, saya dapat merasakan iklim politik Malaysia berubah jauh lebih pantas daripada agenda pembangunan sahsiah serta minda positif rakyat Malaysia keseluruhannya.
Tamadun sesuatu bangsa negara tidak harus diukur dari sisi pembangunan material semata-mata, lebih dari itu ianya wajib disimpul-kaitkan bersama pembangunan roh kemanusiaan berpaksikan keluhuran jiwa insani yang syumul.
Dalam kontek politik Malaysia, para politikus yang dipilih melalui pilihanraya kecil atau umum menjadi samada Wakil Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri seharusnya menjadi penyambung suara rakyat. Malangnya, roh perjuangan yang mengalir dalam diri para politikus masakini tidak lagi bertanggam dengan aspirasi rakyat yang diwakilinya.

Aspirasi rakyat, inginkan kesejahteraan hidup. Impian wakil rakyat, inginkan kemewahan kehidupan.
Justeru, mana mungkin wakil rakyat yang mengimpikan kemewahan hidup dapat memenuhi aspirasi rakyat yang diwakilinya untuk menikmati kesejahteraan kehidupan.
Titipan saya ini tidak menjurus hanya kepada politikus di bawah payung‪#‎UmnoBN‬ sahaja, malah ia merangkumi hampir keseluruhan politikus Malaysia masakini samada di bawah payung ‪#‎PAS‬‪#‎DAP‬‪#‎PKR‬ maupun parti baru ‪‎HarapanBaru‬ yang rata-rata mempamerkan caturan politik mengejar kuasa untuk merembat harta negara.
Perjuangan demi rakyat kini menjadi slogan menipu rakyat. Pilihanraya kini menjadi medan merebut kuasa untuk memperkayakan diri dan keluarga sendiri.
Bersandarkan kepada iklim politik masakini, saya tidak dapat menolak kebarangkaliannya suatu masa nanti, politik Malaysia bukan lagi wadah perjuangan rakyat tetapi ia menjadi landasan memusnahkan rakyat dan negara keseluruhannya.
Kotak fikir rakyat seakan dibendung dan dikepong untuk tidak berkembang agar pemimpin bisa terus-terusan berdendang merakus harta negara semahunya.
Kekadang terlintas diminda saya, apakah pilihanraya yang dikawal selia oleh SPR wajar kita akur keputusannya lagi?. Atau, kita perangi mereka melalui lorong kiri yang kita bina bersama?
Mohd Sofi Yassin.
Tropicana, Damansara.
29 Sept. 2015