Friday, October 2, 2015

Tiket acara Dr M habis, sejarah 2008 berulang?

Penjualan tiket majlis minum petang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka di ibu negara habis dijual.
Tun Mahathir
Malah, menurut Ketua cawangan itu, Syed Saifuddin Syed Harman, pihaknya terpaksa mencetak tiket tambahan – yang hanya untuk masuk mendengar ucapan Mahathir tanpa disediakan minum petang.
"Tiket untuk meja dah habis dijual. Tapi kita ada cetak tiket tambahan dan kita percaya akan ada ramai lagi orang yang akan datang pada hari tersebut (Sabtu)," katanya.
Mengimbau kembali pada 2008, sebuah program bersama Mahathir yang dianjurkan cawangan tersebut pernah diadakan di lokasi sama.
Bagaimanapun, program yang diberi nama "Fikir-fikirlah" yang diadakan pada bulan Mac tujuh tahun lepas itu untuk memberi tekanan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya melepaskan jawatan sebagai presiden Umno dan perdana menteri.
Ketika itu, menurut Syed Saifuddin, kehadiran orang ramai amat menggalakkan. Kira-kira 1,200 orang memenuhi dewan utama hotel De Palma Ampang bagi mendengar ucapan daripada Mahathir.
Jelasnya, pada ketika itu, kepimpinan bekas perdana menteri kelima itu dipertikai bukan sahaja oleh ahli Umno malah majoriti rakyat Malaysia sebagaimana yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak sekarang.
"Pada 2008, kepimpinan Pak Lah (Abdullah) sedang dipertikai hebat sebagaimana Najib sekarang. Masa itu, majoriti rakyat Malaysia dan Umno tidak berpuas hati dengan kredibiliti Pak Lah sebagai pemimpin.

"Jadi cawangan kemudian mengambil inisiatif untuk memanggil Tun (Mahathir) untuk mengupas isu-isu semasa dan memberi penerangan. Tak lama selepas itu, Pak Lah berundur.
“Dan kami jugalah yang menaikkan imej Najib sebagai pengganti Pak Lah dengan harapan dia jadi pemimpin yang baik dan ikhlas untuk parti," katanya.
Bagaimana Pak Lah dijatuhkan?
Bekas ketua penerangan Umno bahagian Pandan itu juga berkata, kali ini program yang sama diadakan.
Ia bagaimanapun bukan untuk memberi tekanan kepada Najib atau melagakan pemimpin tetapi sebaliknya hanya untuk memberi aspirasi kepada rakyat mendapatkan kepimpinan baru lebih baik.
"Kita bukan nak lagakan pemimpin. Kita nak beri aspirasi rakyat untuk dapatkan kepimpinan baru yang lebih baik dan memperjuangkan kaum Melayu," ujarnya.
Pada 2008, pelbagai tekanan dikenakan terhadap Abdullah bagi menggesa beliau meletakkan jawatan.
Pada Mac, bulan penganjuran acara Mahathir, beberapa kain rentang dikesan dipasang sekitar Kuala Lumpur yang menuntut beliau berundur.
Bagaimanapun kain rentang yang mempunyai logo Umno itu tidak menyatakan penglibatan cawangan Umno atau bahagian tertentu.
Kain rentang itu antaranya digantung ialah sekitar jejantas di Jalan Tun Razak, Kampung Baru, Ulu Kelang dan di Taman Melawati.
Kain rentang itu antaranya bertulis: "Pemimpin tersohor jangan jadi kaki pengampu. Pak Lah letak jawatan", "Kekalkan perjuangan pesan memesan. Pesanlah pada Pak Lah, pergilah. Undurlah demi kesejahteraan negara dan ekonomi", "Sebelum negara tergadai berundurlah Pak Lah", "Jangan main-main dengan bangsa Melayu. Pak Lah letak jawatan", "Kami merestui perjuangan Pak Lah untuk berundur".
Dr Mahathir juga pada tahun sama begitu aktif menjalankan beberapa siri jelajah ke hampir setiap negeri di seluruh negara bagi membawa mesej agar seluruh akar umbi dan rakyat menolak pemerintahan Abdullah bagi digantikan oleh Najib.
Pernah keluar Umno
Malah, pada Mei 2008, Mahathir juga pernah mengumumkan keluar dari Umno kerana tidak yakin dengan kepimpinan Abdullah.
Pengumuman itu dibuat semasa dalam sebuah majlis dialog di Kedah.
Bagaimanapun, selepas Abdullah meletakkan jawatannya Dr Mahathir kemudian memasuki parti itu semula pada April 2009.
Kini, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang merupakan individu yang konsisten mengkritik pentadbiran Najib sekali lagi memainkan peranannya.
Selepas enam tahun mentadbir, pemerintahan Najib pula dipertikai.
Dan sekali lagi, Dr Mahathir dilihat membuat siri "penerangannya" di beberapa tempat dan antaranya di De Palma, Ampang Sabtu ini - adalah lokasi sama ketika beliau mahu Abdullah melepaskan jawatannya.
Walaupun sambutan terhadap program pada Sabtu ini amat menggalakkan, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan memberi tekanan pada Najib atau tidak.
Dengan pelbagai cara yang dilakukan, adakah usaha Dr Mahathir dan cawangan itu untuk mengulangi zaman "kejayaan" mereka lapan tahun lalu akan berjaya?